Sahabatku, teruskan usaha anda!





Bismillah Ar-Rahman Ar-Rahim,
Asslamualaikum kepada semua,

Setinggi kesyukuran ke hadrat Ilahi atas segala nikmat kurniaan-Nya yang tidak terkira. Salawat dan salam ke atas junjungan besar, Nabi Muhammad s.a.w. dengan segala titik peluh dan darah baginda, kita dapat merasai nikmat iman dan islam di atas muka bumi Allah s.w.t ini.. Alhamdulillah.

Sahabat yang saya kasihi sekalian,

Dalam kehangatan musim peperiksaan yang bakal tiba, saya rasa terpanggil untuk berkongsi sedikit nasihat buat diri saya khususnya juga buat saudara-saudari sekalian. Saya merasakan apa yang ingin saya kongsikan bersama ini sangat penting untuk kita sama-sama hayati dan rasai. Kerana apa? Kerana manusia itu selalu lupa, maka nasihat dan peringatan itulah menjadi penawar buat hati-hati kita yang sering lalai akan makna hidup, tujuan sebenar lahirnya kita di dunia ini.

 Sememangnya manusia takkan pernah lari dari perkataan ujian, dugaan, peperiksaan, dan seumpamanya dalam kamus kehidupan kita. Dari kecil hingga dewasa, kalimah itulah yang sentiasa bermain dalam minda dan fikiran kita. Cumanya, pernahkah kita mengambil iktibar daripadanya?

Sahabat yang saya hormati,

Sedarlah bahawa ujian dan peperiksaan dunia yang kita bakal hadapi ini adalah satu ujian kecil sahaja, jikalau nak dibandingkan dengan ujian akhirat yang lebih besar nilainya. Saya tak bermaksud nak mengambil mudah peperiksaan dunia. Tetapi, suka untuk saya persoalkan. Bagaimana kalau kita mampu bertungkus-lumus belajar dan mengulangkaji pelajaran sedangkan kita malas dan sambil lewa dalam mengahadapi ujian sebenar, ujian di akhirat kelak.

Sekiranya kita gagal di dunia, maka peluang kedua akan muncul. Kita masih mampu mencuba dan berusaha untuk berjaya. Tetapi bagaimana pula jikalau kita gagal di akhirat kelak? Tepuk dada, Tanya iman anda. Kegagalan di akhirat adalah kegagalan buat selamanya. Maka, azab yang pedih akan bersedia buat mereka yang gagal.

Sahabatku,

Para sahabat dan para tabi’ wa tabi’en sangat menitikberatkan kecermelangan mereka di akhirat. Maka, kejayaan dan kecermelangan mereka di dunia datang mengiringi mereka. mereka lah yang telah mencipta tamadun dunia di saat orang eropah dalam kegelapan. Mereka lah yang telah menakluki dua pertiga dunia. Merekalah juga golongan yang alim dalam bidang agama dan falsafah. Mereka cemerlang dalam segenap bidang. Pernahkah kita ambil tahu? Inilah formula dan rahsia kecermelangan mereka.

Sebagai penutup bicara, rebutlah kejayaan di dunia. Tetapi ingatlah, jangan sesekali lalaikan ujian sebenar yang kita semua akan hadapi. Kematian itu akan datang menjemput kita pada bila-bila masa. Semoga sedikit nasihat ini mampu memberi dorongan yang kuat untuk kita tampilkan kejayaan dan kecermelangan dalam segenap aspek kehidupan juga di akhirat kelak.

“Selamat menempuh peperiksaan 2009, Bittaufik Wan Najjah”
Kecemerlangan anda, adalah kejayaan buat umat islam.. Insya Allah.

Ikhlas dari saya Ammar bin Ahmad Raji (wakil SUCI Society)



blog comments powered by Disqus
Related Posts with Thumbnails