Salam Eidul Adha 1430H




Assalamualaikum warahmatullah wabarakatuh,

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar wa lillah al-hamd.


Setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Ilahi dengan izin dan kehendakNya dapat lagi kita menghirup udara segar dalam keadaan menikmati iman dan islam. Alhamdulillah, Allah masih lagi memberi kekuatan kepada kita untuk terus kuat dan tabah dalam menghadapi liku-liku hidup lebih-lebih lagi dalam waktu akhir zaman begini. Salawat dan salam atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w, penghulu para Anbiya', dengan segala titik peluh dan pengorbanan baginda kita dapat mengenal apa itu islam dan iman. Begitu juga salawat dan salam kepada keluarga dan para sahabat baginda serta mereka yang mengikuti susur jalur perjuangan baginda yang penuh bersejarah, tanpa penat dan lelah sehingga tibanya Yaumul-Qiyamah.

Saudara Saudari sekalian,


Eidul Adha akan membawa kita kembali mengimbau kisah penuh makna dalam erti pengabdian seorang hamba kepada Tuhannya. Kisah yang cukup memberi satu kekuatan dalam kita menempuh ujian hidup, onak dan duri dalam perjalanan tarbiyyah seorang insan. Kisah yang memberi satu gambaran jelas tentang hakikat pengorbanan dan kepatuhan yang hakiki. Itulah kisah Nabi Allah Ibrahim bersama anaknya, Nabi Allah Ismail.


Allah telah memerintahkan Nabi Ibrahim supaya menyembelih Nabi Ismail melalui mimpi. Maka, tanpa berlengah Nabi Ibrahim membawa Nabi Ismail ke sesuatu tempat untuk disembelih. Maka ditanya Nabi Ibrahim kepada anaknya itu,

“Hai anakku, sungguh aku melihat dalam tidurku (dalam mimpi aku) bahawa aku menyembelih engkau, cuba engkau pula perhatikan bagaimana pendapat kamu?”


Maka apa pula dijawabnya Nabi Ismail,


“Wahai ayahku, kerjakanlah apa yang diperintahkan. Insya-Allah ayah akan
mendapatkan aku sebagai orang yang sabar, iaitu terhadap apa yang diperintahkan
kepada ayah untuk menyembelih aku.”


Alangkah kuatnya iman dan ketaatan mereka dalam mematuhi perintah Allah. Bagaimana seorang anak yang masih muda, yang telah ditinggalkan oleh ayahnya selama beberapa tahun mampu mengucapkan sebegitu sedangkan dia akan bertemu dengan kematian. Satu pengorbanan jiwa dan raga yang cukup besar.


Saudara Saudari sekalian,


Apalah gunanya hidup tanpa pengorbanan, sedangkan pengorbanan buat agama adalah satu pengorbanan yang wajib kita tampilkan. kita mungkin sudah mengeluh atas sedikit pengorbanan wang dan harta yang kita miliki untuk islam sedangkan Nabi Ismail tak pernah mengeluh atas perintah pengorbanan jiwa baginda. Kita mungkin sudah rasa susah atas sedikit pengorbanan masa dan tenaga yang kita curahkan untuk islam sedangkan Nabi Ibrahim tidak pernah rasa susah atas pengorbanan baginda dalam mematuhi perintah menyembelih anaknya sendiri.


Mereka mampu berkorban demi keredhaanNya sehingga Allah cinta akan mereka. Tidak inginkah kita begitu?


Mungkin kita takkan mampu untuk berkorban nyawa, tetapi sekurangnya kita mampu berkorban sedikit harta, tenaga, masa untuk agama tercinta. Janganlah jadi orang yang lupa untuk berkorban, kerana sedarlah bahawa keberadaan kita disini adalah kerana pengorbanan yang dicurahkan oleh para generasi terdahulu. Janganlah kita memutuskan semangat pengorbanan mereka dengan perasaan cinta kita kepada dunia yang tak pernah kekal.


Semoga Eidul Adha yang bakal kita rayakan akan mengajar kita erti pengorbanan sebenar dalam hidup.


Salam Eidul Adha 1430H


Ikhlas dari saya,
Ammar bin Ahmad Raji
Presiden SUCI 09/10

blog comments powered by Disqus
Related Posts with Thumbnails